Home Ma-Zeer Ambil Pengajaran Dari Kisah Kewafatan 4 Khulafa al-Rasyidin

Ambil Pengajaran Dari Kisah Kewafatan 4 Khulafa al-Rasyidin

129
0
SHARE


1. Kisah Saidina Abu Bakar r.a. :-

Siapa yang tak kenal dengan Saidina Abu Bakar As-Siddiq sahabat nabi yang paling rapat dan yang paling setia. Selain tu, Abu Bakar jugak adalah bapa mentua Nabi apabila anaknya, Saidatina Aisyah berkahwin dengan Rasulullah SAW. Untuk maklumat, nama sebenar beliau adalah Abdullah bin Abi Quhafah dan berasal dari Bani Tamim.

Lepas kewafatan Rasulullah SAW, Abu Bakar dilantik menjadi khalifah umat Islam pertama. Sepanjang pemerintahannya, pelbagai isu berjaya diselesaikan, termasuklah memerangi golongan murtad, meluaskan empayar Islam, mengumpul ayat al-Quran dan menetapkan Saidina Umar sebagai penggantinya. Bagaimanapun, ada kontroversi dan perbahasan tentang kematian Abu Bakar. Ada riwayat yang kata Abu Bakar meninggal dunia kerana demam dan ada satu lagi riwayat yang kata beliau sebenarnya diracun oleh orang Yahudi.

Diceritakan yang Abu Bakar dah termakan daging yang diracun. Tapi cerita tersebut tak pasti lagi sahih sebenarnya. Sebab itulah ia tak boleh dijadikan hujah. Menurut sejarah, Saidatina Aisyah jugak tak pernah kata yang bapanya diracun. Begitu jugaklah dengan para sahabat yang menziarah Abu Bakar pun tak pernah kata yang dirinya diracun. Riwayat yang sahih sebenarnya datang dari Aisyah sendiri mengenai punca kematian bapanya. Menurut Aisyah, Saidina Abu Bakar mula jatuh sakit, bila beliau mandi pada hari Isnin 7 Jamadil Akhir ketika cuaca yang sejuk. Akibatnya, beliau demam dan tak dapat solat di masjid.

Akhirnya beliau meninggal dunia pada 2 Ogos 634 Masihi bersamaan dengan hari Selasa, 22 Jamadil Akhir tahun 13 Hijrah. Ketika tu beliau berusia 63 tahun dan pegang jawatan khalifah selama lebih kurang 2 tahun 3 bulan. “Jarir bin Abdullah r.a mengatakan: Suatu ketika aku bersama Muawiyah bin Abi Sufyan. Dia menyatakan, ‘Nabi SAW meninggal dunia dalam usia 63 tahun, Abu Bakar meninggal dunia dalam usia 63 tahun dan Umar bin Al-Khattab meninggal dunia dalam usia 63 tahun.”

– Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Saghir.

Begitulah perginya sebaik-baik sahabat Rasulullah yang telah menghabiskan seluruh hidupnya di jalan Allah SWT. Bergembiralah Saidina Abu Bakar As-Siddiq menemui sahabatnya Nabi Muhammad SAW di syurga, seperti mana yang pernah dijanjikan Rasulullah SAW bahawa tempat Abu Bakar itu adalah syurga.

Ambil Pengajaran Dari Kisah Kewafatan 4 Khulafa al-Rasyidin

2. Kisah Saidina Umar r.a. :-

Dialah yang digelar sebagai ‘al-Faruq’ (pemisah antara kebenaran dan kepalsuan). Dialah yang terkenal dengan ketegasan dan keberaniannya berjuang di jalan Allah. Dialah yang menjadi sahabat dan berjuang melindungi Rasulullah SAW. Dia adalah Umar bin Al-Khattab bin Nufail bin Abdul Uzza bin Ribaah bin Abdillah bin Qarth bin Razaah bin ‘Adi bin Kaab. Selepas kematian Abu Bakar As-Siddiq, tiba pula giliran Saidina Umar mengambil alih jawatan Khalifah umat.

Kehebatan, keberanian dan kecekapannya terbukti apabila beliau berjaya menakluk wilayah-wilayah dan meluaskan empayar Islam dari Timur hingga ke Barat. Sampaikan pada tahun 637, Baitulmaqdis berjaya dikembalikan kepada Islam. Selain itu, Saidina Umar jugak berjaya menawan Parsi dalam Perang Nihawand. Hasilnya, ramai dari tawanan perang itu diambil menjadi hamba termasuklah seorang lelaki Majusi bernama Abu Lu’lu’ah (juga dikenali sebagai Piruz Nahavandi). Dia dijadikan hamba kepada Gabenor Busra ketika itu yang bernama al- Mughirah bin Shu’bah.

Dikatakan yang Abu Lu’lu’ah ni seorang tukang dan pakar pahat yang membuat penggiling gandum. “Abdullah bin Umar r.a berkata: Umar membawa masuk Abu Lu’lu’ah ke dalam rumah untuk memperbaiki palang pintu rumahnya. Abu Lu’lu’ah berkata: ‘Perintahkanlah majikanku Al-Mughirah bin Syu’bah agar meringankan uftiku (cukai)!’ Umar berkata: ‘Sesungguhnya kamu perolehi upah yang besar. Maka bersabarlah dan bertakwalah kamu kepada Allah!”

– Diriwayatkan oleh Ibnu Syabbah.

Bermula dari situlah Abu Lu’lu’ah mula berdendam dengan Saidina Umar. Dia jugak mula rancang nak bunuh Saidina Umar dengan buat belati bermata dua yang diletakkan racun.

Akhirnya, ketika Saidina Umar bertakbir untuk mengimamkan solat subuh, Abu Lu’lu’ah terus menikam bahu dan perut Saidina Umar hingga menyebabkan beliau terjatuh. Abdul Rahman bin Auf terus menggantikan Umar sebagai imam. Dalam waktu sama, Abu Lu’lu’ah tikam pulak jemaah kat situ, yang akhirnya menyaksikan 7 mati dan 6 cedera.

Tapi, salah seorang jemaah kat situ terus melemparkan kain penutup kepalanya ke Abu Lu’Lu’ah sampai membuatkan kain tu menutup mata dan kepala Abu Lu’lu’ah. Abu Lu’lu’ah pun rasa panik dan bunuh diri kat situ jugak.

“Diriwayatkan oleh Al-Miswar r.a bahawa Umar setelah ditikam jatuh pengsan. Lalu ada yang mengatakan: ‘Kamu semua hanya dapat menyedarkannya dengan solat, jika dia memang masih hidup.’ Ibnu Abbas berkata: ‘Solat, wahai Amirul Mukminin! Solat sudah dilaksanakan.’ Mendengar perkataan solat Umar sedar lalu berkata: ‘Ya, solat. Tidak ada bahagian dalam Islam bagi orang yang meninggalkan solat.’ Maka Umar pun menunaikan solat sementara darah terus mengucur dari lukanya.

– Diriwayatkan oleh Ibnu Sa’ad, Ibnu Asakir dan Ibnu Abi Syaibah.

Bila diberitahu kepada Saidina Umar, orang yang menikamnya itu Abu Lu’lu’ah. Saidina Umar berkata: “Segala puji bagi Allah yang tidak menetapkan kematianku melalui tangan orang yang mengaku sebagai Muslim.” Akhirnya, Saidina Umar meninggal dunia pada usia 63 tahun pada 26 Zulijjah tahun 23 Hijrah. Jenazahnya dikebumikan di sisi makam Rasulullah dan makam Saidina Abu Bakar as-Siddiq.

Berbahagialah Umar di syurga Allah SWT, sebagai balasan atas segala pengorbanannya pada Islam dan segala keadilannya semasa menjadi Khalifah.

Kisah Kewafatan 4 Khulafa al-Rasyidin. Ambil Iktibar.

3) Kisah Saidina Uthman ibn Affan r.a. :- 

Saidina Uthman bin Affan dilahirkan pada tahun 576 Masihi dan berasal dari Bani Umaiyah. Beliau jugak terkenal sebagai sahabat yang kaya raya tapi pemurah dan dermawan. Habis segala hartanya itu digunakan hanya untuk menegakkan Islam.

Disebabkan dia berkahwin dengan dua orang anak Rasulullah (Rugayah dan Ummi Kalsum) maka dengan itu dia digelar sebagai Zun Nurrain (pemilik dua cahaya). Selepas kewafatan Saidina Umar Al-Khattab, beliau dilantik menjadi khalifah ke 3, pada 23 Hijrah. Zaman pemerintahan beliau terbahagi kepada 2 tahap iaitu tahap kegemilangan selama 6 tahun dan zaman fitnah selepas itu.

Masa zaman kegemilangannya, dunia Islam dah tunjukkan kehebatan dalam macam-macam perkara termasuklah politik, sosial, ketenteraan dan sebagainya. Pemerintahan Islam jugak berjaya sampai kat beberapa daerah di Parsi dan Afrika. Saidina Uthman jugak berjaya mengumpul semua ayat al-Quran dan dibukukan, seperti mana yang kita kenal sebagai Mushaf Usmani (atau Mushaf al-Imam).

Tapi tahap kedua pemerintahan Saidina Uthman pulak penuh dengan huru-hara, masalah dan fitnah. Ada yang kata perkara ni jadi sebab cara politik Saidina Uthman agak lembut berbanding dengan Khalifah sebelumnya. Oleh tu, banyak timbul fitnah, antaranya ada pihak yang tuduh Saidina Uthman buat kenduri kahwin anaknya dengan mewah sebab guna duit negara, dibangkitkan isu yang beliau lantik ahli keluarganya dalam pemerintahan, ada yang fitnah beliau bagi harta kerajaan kepada kaum kerabatnya, ada jugak dakwaan yang kata ramai gabenor-gabenornya memerintah secara tak adil dan begitu jugak dengan isu beliau melantik orang muda sebagai panglima-panglima perang.

Saidina Uthman masa tu berada di Madinah, tapi isu-isu ni bangkit di Mesir, Iraq dan beberapa lagi negara Islam. Tapi bila isu ni sampai ke Syam (Syria), isu ni tak berapa jalan sebab kat situ ada Muawiyah bin Abi Sufyan yang sangat tegas dalam pemerintahannya. Bila dengar fitnah-fitnah tu, Saidina Uthman bagi surat ke seluruh negara Islam menerangkan perkara sebenar. Tapi bila sampai musim haji, ketika ramai para sahabat dan penduduk Madinah tengah tunaikan haji kat Mekah… beribu pemberontak dari Mesir, Kufa dan Basrah mula menuju ke Madinah dan mengepung rumah Saidina Uthman.

Tapi dengan sikap Saidina Uthman yang baik dan lembut tu, beliau kata kat sebahagian sahabat yang tengah berkawal kat depan rumah Khalifah: “Uthman berkata: Wahai sesiapa yang melihat, wajib untuk mereka taat kepada Khalifah. Baliklah, duduk di rumah dan jangan masuk campur.” Jadinya, sahabat-sahabat yang berkawal tu semuanya simpan semula senjata mereka dan balik.

Tapi bila para pemberontak tu dengar yang Muawiyah mula siapkan tentera untuk menyelamatkan Saidina Uthman. Mereka panik dan bertindak menceroboh masuk ke rumah Saidina Uthman.

“Jabir bin Abdillah meriwayatkan semasa pembunuhan Uthman: Uthman didatangi oleh beberapa orang lalu mereka berkumpul di sekelilingnya. Tiba-tiba seorang lelaki Habsyi dari mereka menghampirinya lalu menikamkan anak panah di antara dada kanannya sementara di pangkuan Uthman terdapat mushaf Al-Quran. Semasa itu usia Uthman sudah amat lanjut. Lalu dia rebah dan meninggal dunia.”

– Diriwayatkan oleh Ibnu Syabbah.

Maka pergilah Saidina Uthman mengadap Ilahi pada malam 18 Zulhijjah tahun 36 Hijrah bersamaan hari Jumaat pada usia 82 tahun. Selepas pembunuhan Saidina Uthman, dunia Islam tak pernah lagi aman.

Kisah Kewafatan 4 Khulafa al-Rasyidin. Ambil Iktibar.

4) Kisah Saidina Ali bin Abi Talib r.a. :-

Dunia Islam tak akan pernah lupa dengan nama Saidina Ali bin Abu Talib bin Abdul Muthalib. Dialah pahlawan Islam, sepupu, menantu dan bapa kepada dua orang cucu Nabi Muhammad SAW. Dia jugalah yang digelar sebagai ‘Singa Allah’.

Selepas kewafatan Saidina Uthman, Saidina Ali pula dilantik sebagai khalifah umat Islam. Bagaimanapun, semasa Saidina Ali mengambil alih jawatan khalifah, dunia Islam sudah tidak aman lagi sejak pembunuhan Saidina Uthman. Fitnah masih lagi bertaburan di dunia Islam.

Antaranya adalah bila berlakunya konflik antara Saidina Ali dan Muawiyah bin Abi Sufyan. Hal ini berlaku bila Muawiyah hendakkan kes pembunuhan Uthman disiasat dan orang yang bertanggungjawab dihukum. Tapi Saidina Ali pula berpendapat yang keadaan sepatutnya diamankan dulu sebelum perkara itu dilakukan. Maka berlakulah perang saudara antara umat Islam (Perang Siffin) di antara Saidina Ali dan Muawiyah.

Sebenarnya segala peperangan ini berlaku ketika umat Islam menghadapi zaman fitnah besar. Bermula dari sini jugalah munculnya golongan seperti Syiah yang taksub dengan Saidina Ali dan Khawarij yang menolak Saidina Ali dan Muawiyah. Golongan Khawarij ini selalunya nampak macam orang yang alim dan patuh ajaran Allah. Tapi sebenarnya diorang ni ekstrim sampai menghalalkan darah orang yang tak sependapat dengan diorang.

Diriwayatkan, ketika Abdullah bin Khabbah (anak sahabat Nabi bernama Khabbah bin al-Arat) tengah bermusafir dengan isterinya. Mereka dihalang oleh sekumpulan Khawarij Mereka suami isteri ni akhirnya dibunuh oleh kumpulan Khawarij tadi tanpa belas kasihan walaupun masa tu dikatakan isteri Abdullah sedang mengandung.

Begitulah, kejamnya kumpulan Khawarij. Bila berita ni sampai ke Saidina Ali, maka Saidina Ali mengarahkan pasukannya memerangi kumpulan ini.

Sebenarnya, kumpulan Khawarij ni memang dah lama merancang untuk membunuh Saidina Ali, Muawiyah dan Amr al-As. Orang yang ditugaskan untuk membunuh Saidina Ali adalah Abdul Rahman bin Muljam (Ibnu Muljam). Maka Ibnu Muljam pun merancang untuk membunuh Saidina Ali ketika beliau sedang melaungkan azan subuh. Biasanya bila sampai lafaz ‘hayya ala solah’ beliau akan mengeluarkan kepalanya melalui bahagian pintu masjid. “Ketika Ali mengeluarkan kepalanya lelaki Khawarij ini menghayunkan pedangnya pada kepalanya sekali libasan yang menjadikan bahagian tulang tengkoraknya bertaburan.

Melihat kejadian ini orang menjerit, ‘Amirul Mukminin telah dibunuh!’ Serta merta mereka berlari ke arah Ibnu Muljam. Dia pun menyerang mereka sehingga akhirnya dia berjaya dilumpuhkan. Ali masih hidup hari itu dan meninggal dunia satu malam sesudahnya. Lalu kedua-dua tangan dan kaki Ibnu Muljam dipotong, kedua matanya dicungkil kemudiannya dipakaikan dua helai kain bergaris putih dan dibakar.”

Diriwayatkan oleh Abu al-Abbas ar-Rafiqi. Maka pergilah Saidina Ali mengadap Allah SWT, sebagai Khulafa ar-Rasyidin terakhir pada 18 Ramadan tahun 40 hijrah. Itulah sejahat-jahat rancangan kaum Khawarij yang sanggup membunuh sepupu dan menantu Rasulullah.

“Diriwayatkan dari Sa’id bin Abdil Aziz As-Sulami bahawa Ali setelah dicederakan berwasiat kepada kedua anaknya. Kemudiannya tidak ada yang dia ucapkan selain kalimat ‘Laa Ilaaha Illallah’ sehingga menghembuskan nafas terakhirnya.” Begitulah seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah.

Allahu’alam..

Sumber: zulsegamat.wordpress.com



Sumber : Ma-Zeer Blog