Home Ma-Zeer Tiupan Sangkakala Pertama & Kedua, Kematian Iblis & Malaikat Dan Tiupan Sangkakala...

Tiupan Sangkakala Pertama & Kedua, Kematian Iblis & Malaikat Dan Tiupan Sangkakala Ketiga

1936
0
SHARE


1. Apakah Itu Sangkakala? :

Diceritakan di dalam satu Hadith bahawa Muhammad Rasulullah SAW bersabda setelah Allah SWT selesai menciptakan langit dan bumi, maka kemudian Allah SWT mencipta sangkakala. Sangkakala itu kemudian diberikan kepada malaikat Israfil a.s. Kemudian Israfil a.s. pun meletakkan sangkakala tadi ke mulutnya sambil matanya menatap terus ke ‘Arasy (tidak berkelip), menunggu-nunggu bila dia diperintahkan untuk meniup.

Huru-Hara Kiamat: Tiupan Sangkakala Pertama & Kedua, Kematian Iblis & Malaikat Dan Tiupan Sangkakala Ketiga

Ketika Baginda ditanya oleh para Sahabat r.a. – apakah itu sangkakala? Maka jawab Baginda – “Tanduk”. Kemudian Baginda ditanya lagi bagaimana tanduk itu? Jawab Baginda – “Besar. Demi Allah yang mengutus aku dengan kebenaran, sesungguhnya besar lingkarannya adalah seluas langit dan bumi. Sangkakala itu akan ditiup tiga kali. Yang pertama tiupan mengejutkan. Kedua tiupan mematikan. Yang ketiga tiupan membangkitkan untuk menghadap Tuhan semesta alam”.

Dahsyatnya Huru-Hara Hari Kiamat. Ini Peristiwa Yang Berlaku Menjelang Hari Kiamat.

Maha Suci Allah. Dan kalau kita melihat kepada hasil penemuan saintis NASA telah membuktikan kebenaran perkataan Muhammad Rasulullah SAW tadi. Bahawa dikatakan bentuk alam semesta ini bukannya berbentuk tidak tetap atau mendatar atau cembung atau sfera seperti teori awal dahulu. 

Tetapi hasil penemuan itu mengatakan bahawa bentuk alam semesta ini sebenarnya adalah berbentuk seperti tanduk seladang atau tanduk badak. Runcing di pangkal dan semakin mengembang ke bahagian hujung. Bahkan bentuk tanduk alam semesta itu sangat bertepatan dengan teori ahli sains yang mengatakan bahawa alam semesta sebenarnya sentiasa berkembang.

2. Tiupan Sangakakala Yang Pertama (Nafkhatul Faza’ – Tiupan Yang Mengejutkan) :

Pada bahagian yang lalu (Bahagian IV) saya ada menukilkan bahawa pada ketika sudah hampir datangnya Kiamat – maka yang tinggal di atas muka bumi hanyalah kelompok manusia yang sangat kafir, jahat dan derhaka. Kelompok manusia pada ketika itu tidak lagi mengenal kebaikan hatta dalam perkataan mereka. Sehingga mereka digelar dengan gelaran Lukaq ibn Lukaq (Tak Guna anak kepada Tak Guna). Dan ke atas merekalah kedahsyatan Kiamat itu akan berlaku.

Ini Peristiwa Yang Berlaku Menjelang Hari Kiamat.

Pada ketika kederhakaan dan kemaksiatan bermaharajalela – maka Allah SWT menyuruh Israfil a.s. meniup sangkakala yang pertama. Dan ketika saat ditiup sangkakala maka terkejutlah segenap penduduk bumi dan langit (kecuali mereka yang dikehendaki Allah SWT). Kemudian Allah SWT menyuruh Israfil a.s. memanjangkan tiupannya tanpa henti.

Manusia yang mula-mula mendengar kedahsyatan tiupan yang pertama itu adalah seorang lelaki yang sedang melepa (menyalut dinding bata dgn campuran lumpur atau simen) kolamnya untuk dibuat tadahan minuman kepada haiwan ternakannya.

Kata Muhammad Rasulullah SAW dalam satu Hadith – sesungguhnya ketika tiupan pertama ditiupkan – pada ketika itu dua orang lelaki baru saja merentangkan kain antara keduanya, tetapi belum sempat menjalankan jualan mereka bahkan tidak sempat pula untuk melipat semula kain yang dibentang tadi. Pada ketika itu juga seorang baru saja pulang dengan perahan susunya, tetapi dia belum sempat meminumnya. Pada ketika itu juga seorang baru saja mengangkat makanannya ke mulut, tetapi dia belum sempat memakannya.

Pada ketika tiupan pertama itu – manusia akan melihat gunung-ganang bergoncang kemudian menjadi debu. Bumi akan bergoyang seperti dilanda gempa bumi. Para penghuni bumi (manusia, jin, haiwan) akan terhoyong-hayang seperti berada di dalam kapal yang dilanda ribut di lautan. Mereka seperti lampu-lampu siling yang terumbang-ambing ditiup angin kencang.

Bumi akan bergoncang dengan goncangan yang paling dahsyat. Pada ketika itu wanita-wanita yang sedang menyusukan anaknya akan meninggalkan anaknya itu. Wanita-wanita yang mengandung akan keguguran. Rambut anak-anak kecil akan beruban. Manusia akan bertempiaran lari sambil berteriak kerana sangat terkejut dan takut. Namun manusia-manusia derhaka itu akan dihalang oleh para malaikat. Muka-muka manusia derhaka itu akan dihentam oleh para malaikat tadi.

Ini Peristiwa Yang Berlaku Menjelang Hari Kiamat.

Begitulah tiupan sangkakala pertama itu akan berlaku. Bahawa ia akan datang secara mendadak dan tiba-tiba. Membuatkan manusia, jin dan haiwan terpinga-pinga. Kerana kedahsyatan peristiwa yang sedang mereka saksikan itu belum pernah mereka alami atau belum pernah mereka temui dalam rakaman sejarah dunia sebelum itu.

Apakah kita menyangka bahawa tsunami Acheh (pada 2004) yang membunuh 280 000 orang itu sudah dahsyat? Apakah kita menyangka taufan Bhola di Bangladesh (pada 1970) yang mengorbankan 500 000 orang itu sudah dahsyat? Apakah kita menyangka gempa bumi Shan Xi (pada 1556) yang membunuh 830 000 orang itu sudah dahsyat? Apakah kita menyangka banjir besar di negara China (pada 1931) yang mengorbankan sekitar 3 700 000 (3.7 juta) ke 4 000 000 (4 juta) orang itu sudah cukup dahsyat? Apakah kita menyangka kemarau terburuk di atas muka bumi yang berlaku di China (pada 1876-1879) yang mengorbankan sekitar 9 000 000 (9 juta) ke 13 000 000 (13 juta) orang itu sudah cukup dahsyat? Apakah kita menyangka bencana akibat Perang Dunia Pertama yang mengorbankan 15 373 100 (15.4 juta) orang itu sudah cukup dahsyat? Apakah kita menyangka bencana akibat Perang Dunia Kedua yang mengorbankan 73 000 000 (73 juta) orang itu sudah sangat dahsyat dan mengerikan?

Tidak! Bahkan tidak! Sesungguhnya tiupan sangkakala itu lebih dahsyat dan mengerikan! Kedahsyatan tiupan sangkakala itu tidak dapat kita bayangkan. Dan tidak dapat kita gambarkan sama sekali. Gunung-ganang akan hancur. Lautan akan menjadi wap panas dan menggelegak. Bumi akan terbelah dan merekah. Seolah-olah tsunami, banjir, taufan, gempa bumi dan letusan gunung berapi berlaku secara serentak dengan daya kekuatan yang beratus juta kali lebih dahsyat.

Manusia yang hidup pada ketika itu seolah-olah mabuk kerana kedahsyatan goncangan yang mengejutkan itu. Pada ketika manusia masih dalam keadaan seperti itu – manusia (termasuk jin dan haiwan) akan melihat bumi tiba-tiba terbelah menjadi dua. Keduanya akan bergeser dari satu arah ke arah yang lain. Para penduduk bumi akan berasa sangat menderita dan sengsara. Sesungguhnya Allah SWT jualah yang lebih Mengetahui bagaimana sengsaranya para penduduk bumi pada ketika itu.

Kemudian para penduduk bumi akan mendongak ke langit. Mereka akan dapati awan-awan yang sebelum itu kelihatan seperti kapas – akan bertukar menjadi tembaga. Awan-awan itu akan jatuh berserakan menimpa mereka. Kemudian mereka akan melihat langit – ternyata langit juga telah berubah menjadi seperti cairan logam. Setelah itu langit itu akan terbelah. Mereka juga akan melihat planet-planet dan bintang-bintang akan berhamburan tidak tentu arah. Dan akhirnya mereka akan dapati bahawa matahari dan bulan tidak lagi mengeluarkan dan memantulkan sebarang cahaya.

Demikianlah azab sengsara yang akan dialami segenap penghuni bumi selama waktu yang dikehendaki oleh Allah SWT. Sehinggalah apabila sampai suatu tempoh – maka Allah SWT akan menyuruh Israfil a.s. untuk meniup sangkakala yang kedua.

3. Tiupan Sangkakala Yang Kedua (Nafkhatus Sha’iq – Tiupan Yang Mematikan) :

Dalam Surah al-Zalzalah; ayat 1 hingga 5 – Allah SWT berfirman : “Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat. Dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandung) olehnya. Dan manusia bertanya – “Apa yang terjadi pada bumi ini?” Pada hari itu bumi menyampaikan beritanya. Kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan (yang demikian itu) padanya”.

Ini Peristiwa Yang Berlaku Menjelang Hari Kiamat.

Kemudian dalam Surah al-Qaria’ah; ayat 1 hingga 5 – Allah SWT berfirman : “Hari Kiamat. Dan tahukah kamu apakah hari Kiamat itu? Pada hari itu manusia seperti kupu-kupu yang berterbangan. Dan gunung-ganang seperti bulu yang dihambur-hamburkan”.

Firman Allah SWT lagi dalam Surah al-Hajj; ayat 1 dan 2 : “Wahai manusia, bertakwalah kamu kepada Tuhanmu. Sesungguhnya goncangan hari Kiamat itu adalah satu kejadian yang sangat besar (dan dahsyat). (Ingatlah) pada hari (ketika) kamu melihat goncangan itu, maka semua wanita yang menyusu tidak peduli lagi dengan anak yang disusunya, dan gugurlah segala kandungan wanita yang hamil, dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, akan tetapi azab Allah (SWT) itu sangatlah dahsyat”.

Kemudian Allah SWT berfirman lagi dalam Surah al-Waqi’ah; ayat 1 hingga 7 : “Apabila terjadi hari Kiamat. Berlakunya Kiamat itu tidak dapat didustai (disangkal). (Kejadian Kiamat itu) merendahkan (satu golongan) dan meninggikan (golongan yang lain). Apabila bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya. Dan gunung-ganang dihancur luluhkan sehancur-hancurnya. Maka jadilah ia debu yang berterbangan. Dan kamu menjadi tiga golongan”.

Demikianlah antara ayat Allah SWT daripada sekian banyak ayat-ayat Allah SWT yang menggambarkan tentang peristiwa Kiamat (yang tidak mampu untuk saya muatkan kesemuanya di dalam penulisan yang agak terbatas ini).

Ini Peristiwa Yang Berlaku Menjelang Hari Kiamat.

Namun ketahuilah! Bahawa janji Kiamat itu adalah benar. Dan tidak dapat didustai oleh sesiapa pun. Dan andaikata ada yang berasa ragu-ragu, maka ketika Kiamat itu terjadi maka yakinlah mereka bahawa mereka selama ini telah menzalimi diri mereka sendiri.

Ketika manusia berlari berteriakan menyelamatkan diri. Ketika gunung-ganang menjadi debu. Ketika lautan menggelegak menjadi wap panas. Ketika awan-awan jatuh bertimpa-timpa. Ketika bumi sudah menjadi dua bahagian. Ketika planet-planet dan bintang-bintang saling berserakan. Ketika matahari dan bulan menjadi hancur. Ketika langit terbelah. Maka pada ketika itulah Allah SWT akan berfirman kepada Israfil a.s. supaya meniup sangkakala yang kedua. Iaitu sangkakala yang mematikan.

Tiupan sangkakala yang kedua ini lebih mengerikan. Firman Allah SWT dalam Surah Sad; ayat ke-15 : “Tidak ada yang mereka tunggu-tunggu melainkan satu teriakan sahaja, tanpa ada saat berselang padanya”.

Dan setelah ditiup sangkakala yang kedua ini – maka akan matilah sekalian makhluk dari kalangan malaikat, manusia, jin dan haiwan. Tidak ada berbaki serta bersisa sesiapa pun kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah SWT.

4. Kematian Iblis Laknatullah :

Ketika huru-hara Kiamat yang berlaku tidak henti-henti, maka Allah SWT akan memerintahkan Malaikat Maut untuk mencabut nyawa Iblis. Allah SWT akan mengirimkan bersama Malaikat Maut para pembantu dengan jumlah yang sangat ramai. Kemudian Allah SWT akan memakaikan pakaian kepada Malaikat Maut dengan pakaian kemurkaan dan kemarahan. Dan Allah SWT akan memerintahkan kepada Malaikat Maut supaya mencabut nyawa Iblis dengan sekeras-keras kesakitan dan kepedihan bersamaan dengan kesakitan sakaratul maut seluruh penduduk bumi (manusia dan jin) bahkan berlipat kali ganda daripada itu.

Ini Peristiwa Yang Berlaku Menjelang Hari Kiamat.

Maka turunlah Malaikat Maut dan para pembantunya yang ramai. Wajahnya sangat bengis. Bahkan tidak pernah sebelum itu Malaikat Maut turun dalam keadaan seperti itu. Setiap orang malaikat yang mengikutnya akan membawakan bersama mereka rantai-rantai besi dari Neraka. Dan pada masa yang sama, Allah SWT akan memerintahkan malaikat Malik a.s. supaya membuka pintu Neraka dengan seluas-luasnya.

Ketika Malaikat Maut mendapatkan Iblis, maka Malaikat Maut akan berteriak. Lalu Iblis pun jatuh pengsan kerana ketakutan yang amat sangat. Setelah Iblis sedar, Malaikat Maut berkata – “Berhentilah wahai Iblis! Sekarang aku akan merasakan kepada engkau azab seksa dan kepedihan maut sebanyak mana hitungan makhluk yang telah engkau sesatkan. Berapa panjang usia yang engkau nikmati? Berapa ramai yang telah engkau sesatkan? Dan berapa ramai teman yang telah engkau kumpulkan di dalam Neraka? Telah tiba saat ketentuan yang dijanjikan Tuhan kepada kamu. Maka ke manakah kamu hendak lari?”

Setelah mendengar yang demikian, berlarilah Iblis ke timur. Namun ketika dia tiba di sana, Malaikat Maut sudah pun menunggunya. Kemudian Iblis berlari lagi. Namun Malaikat Maut pasti akan mendahuluinya. Begitulah keadaannya Iblis. Sesungguhnya pada ketika itu dia menjadi sangat takut dan menyesal dengan sebesar-besar penyesalan.

Ini Peristiwa Yang Berlaku Menjelang Hari Kiamat.

Lalu Iblis pergi ke makam Nabi Allah Adam a.s. – bapa segala manusia. Iblis berdiri di sisi makam Baginda sambil berkata – “Kerana engkau aku menjadi tersisih dan terlaknat! Andainya engkau tidak diciptakan, tentulah aku tidak begini jadinya. Aduhai celakanya! Alangkah baiknya jika aku sendiri tidak diciptakan!”

Setelah itu, Iblis akan mendapatkan Malaikat Maut. Lalu dia bertanya – “Dengan minuman apakah aku akan dihidangkan? Dan dengan seksaan apakah aku akan ditimpakan?”

Jawab Malaikat Maut – “Dengan minuman dari Neraka Ladzha. Dan seksaan yang serupa dengan ahli Neraka bahkan berkali-kali ganda azabnya”.

Mendengar jawapan itu – maka berteriaklah Iblis. Dia mengguling-gulingkan dirinya ke atas tanah. Kemudian dia berlari ke timur. Dari timur ke barat. Sehinggalah dia sampai ke tempat mula-mula ketika dia dicampakkan ke bumi dahulu. Sesampainya di situ, Iblis akan dihalang oleh para pembantu Malikat Maut. Dan Iblis akan dihentam dan dipukul dengan rantai-rantai besi dari Neraka.

Raungan Iblis sangat dahsyat. Sedang malaikat yang membantu Malaikat Maut akan terus-menerus menghentam Iblis. Azab dan kepedihan itu sangat mengerikan. Iblis akan diseksa dalam satu tempoh. Sakaratul maut Iblis adalah yang paling mengerikan dan menyeksakan. Sehinggalah sampai satu tempoh – maka Malikat Maut pun akan merentap roh Iblis dengan rentapan yang paling dahsyat.

5. Kematian Para Malaikat Utama :

Setelah bumi dan langit hancur lebur. Setelah semua para malaikat, manusia, jin dan haiwan kesemuanya telah mati (kecuali yang diizinkan Allah SWT untuk hidup). Maka datanglah Malaikat Maut menghadap Allah SWT. Dia berkata – “Ya Tuhanku. Penghuni langit dan bumi kesemuanya telah mati, kecuali yang Engkau kehendaki”.

Ini Peristiwa Yang Berlaku Menjelang Hari Kiamat.

Allah SWT bertanya (dan sesungguhnya Dia lebih Mengetahui) : “Siapakah yang masih hidup?”. Maka Malaikat Maut menjawab – “Yang masih hidup adalah Engkau, Yang Maha Hidup dan tidak akan mati. Dan para malaikat pembawa ‘Arasy, Jibrail, Mikail, Israfil dan aku sendiri”. Allah SWT berfirman : “Maka matikanlah Israfil”. Kemudian Malaikat Maut pun mencabut nyawa Israfil a.s.

Kemudian Malaikat Maut datang menghadap Allah SWT – “Ya Tuhanku. Israfil sudah mati”. Allah SWT bertanya (dan sesungguhnya Dia lebih Mengetahui) : “Siapakah yang masih hidup?”. Maka Malaikat Maut menjawab – “Yang masih hidup adalah Engkau, Yang Maha Hidup dan tidak akan mati. Para malaikat pembawa ‘Arasy, Jibrail, Mikail dan aku sendiri”. Allah SWT berfirman : “Maka matikanlah Jibrail dan Mikail”. Ketika mendengar arahan Allah SWT itu, maka ‘Arasy akan berkata (dengan izin Allah SWT) – “Ya Tuhanku. Benarkah Jibrail dan Mikail akan mati?” Allah SWT menjawab : “Diam kamu! Sesungguhnya Aku telah menetapkan kematian ke atas sesiapa pun yang berada di bawah ‘Arasy-Ku”. Maka Malaikat Maut pun mencabut nyawa Jibrail a.s. dan Mikail a.s.

Kemudian Malaikat Maut datang lagi menghadap Allah SWT – “Ya Tuhanku. Jibrail dan Mikail sudah mati”. Allah SWT bertanya (dan sesungguhnya Dia lebih Mengetahui) : “Siapakah yang masih hidup?”. Maka Malaikat Maut menjawab – “Yang masih hidup adalah Engkau, Yang Maha Hidup dan tidak akan mati. Para malaikat pembawa ‘Arasy dan aku sendiri”. Allah SWT berfirman : “Matilah para malaikat pembawa ‘Arasy-Ku”. Maka Malaikat Maut pun mencabut nyawa para malaikat pembawa ‘Arasy (yang berjumlah empat orang).

Ini Peristiwa Yang Berlaku Menjelang Hari Kiamat.

Kemudian Allah SWT akan memerintahkan ‘Arasy supaya mengambil dan memegang sangkakala yang berada pada tangan Israfil a.s. (yang telah mati).

Kemudian setelah selesai tugasnya, maka Malaikat Maut datang lagi menghadap Allah SWT – “Ya Tuhanku. Malaikat pembawa ‘Arasy-Mu sudah mati”. Allah SWT bertanya (dan sesungguhnya Dia lebih Mengetahui) : “Siapakah yang masih hidup?”. Maka Malaikat Maut menjawab – “Yang masih hidup adalah Engkau, Yang Maha Hidup dan tidak akan mati. Dan aku sendiri”. Allah SWT berfirman : “Kamu adalah salah seorang makhluk-Ku juga. Aku menciptakan kamu untuk apa yang kamu lihat (mati). Lalu, matilah kamu”.

Kemudian Malaikat Maut pun pergi ke satu tempat yang berada di antara Syurga dan Neraka. Di sanalah rohnya akhirnya ditaqdirkan Allah SWT akan berpisah dari jasadnya. Malaikat Maut berkata – “Sesungguhnya sakaratul maut itu sangat menyakitkan. Andai aku tahu, nescaya aku akan mencabut nyawa setiap mu’min itu dengan lemah-lembut sekali”. Dan akhirnya Malaikat Maut pun mati juga.

Kesemua malaikat di atas (Jibrail a.s., Mikail a.s., Israfil a.s. dan malaikat pembawa ‘Arasy) – saat ketika mereka didatangi Malaikat Maut – maka tahulah mereka bahawa ajal mereka sudah pun sampai. Mereka tertunduk dan sujud kepada Allah SWT dalam keadaan menangis (walhal mereka tidak ada dosa sedikit pun). Kesemua mereka (Jibrail a.s., Mikail a.s., Israfil a.s., malaikat pembawa ‘Arasy termasuk Malaikat Maut sendiri ketika nyawa mereka dicabut) berdoa – “Ya Allah. Ya Tuhanku. Ringankanlah sakaratul maut bagiku”.

6. Tidak Ada Yang Tinggal Melainkan Allah SWT :

Setelah sudah tidak ada lagi yang hidup – maka yang tinggal hanyalah Allah SWT Yang Maha Esa, Yang Maha Mengalahkan, yang menjadi tempat bergantung sekalian makhluk, yang tidak beranak dan tidak diperanakkan serta tidak ada sesuatu pun yang setara dengan-Nya. Yang Maha Awal dan juga Yang Maha Akhir.

Ini Peristiwa Yang Berlaku Menjelang Hari Kiamat.

Kemudian Allah SWT akan menggulung langit dan bumi seperti menggulung lembaran-lembaran kertas. Sesudah itu Allah akan menghamparkannya semula. Kemudian menggulungkannya lagi sebanyak tiga kali. Lantas Allah SWT berfirman : “Akulah Yang Maha Berkuasa. Akulah Yang Maha Berkuasa. Akulah Yang Maha Berkuasa”.

Kemudian Allah SWT berseru sebanyak tiga kali : “Milik siapakah kerajaan pada hari ini?” Maha Suci Allah. Sudah tentu tidak akan ada jawapan dari satu makhluk pun. Lantas Allah SWT berfirman kepada Diri-Nya sendiri : “Pada hari ini kerajaan ini milik Allah Yang Maha Esa dan Maha Mengalahkan”.

7. Langit Dan Bumi Diganti Dengan Yang Baharu :

Setelah kematian semua makhluk. Dan setelah hancurnya langit dan bumi. Maka Allah SWT akan menggantikan langit dan bumi dengan yang baharu. Bahkan bentuknya juga berbeza. Bumi tidak lagi dijadikan berbentuk sfera seperti sekarang. Tetapi pada ketika itu Allah SWT akan menghamparkan bumi dan meratakannya – seperti hamparan permaidani. Ketika itu tidak ada lagi yang dinamakan bukit dan gunung. Tidak ada lagi yang dinamakan lembah atau gaung. Tidak ada lagi yang dinamakan laut atau sungai. Kesemuanya rata. Bahkan tidak akan kita temui satu pun lekukan yang rendah atau yang tinggi. Bumi pada ketika itu akan berwarna keperak-perakan.

Ini Peristiwa Yang Berlaku Menjelang Hari Kiamat.

Setelah selesai bumi dan langit diratakan – maka Allah SWT akan membentak sekalian makhluk dengan sekali bentakan. Maka setiap jasad yang telah hancur – kecuali tulang sulbi (tulang ekor yang terletak pada hujung tulang belakang) akan dihimpunkan pada bumi yang diratakan tadi. Kesemua tulang sulbi makhluk (yang masih dalam keadaan mati) akan berada pada hamparan bumi yang telah diratakan tadi. Walaupun dulu jasad makhluk itu dulunya berada di dalam perut bumi. Atau di dalam lautan. Atau di dalam perut haiwan. Kesemuanya akan dihimpunkan Allah SWT pada hamparan bumi tadi.

Kemudian Allah SWT akan menurunkan air dari bawah ‘Arasy. Air dari bawah ‘Arasy itu akan terkumpul pada permukaan langit yang diratakan. Setelah itu Allah SWT akan memerintahkan langit supaya menurunkan air itu seperti mana keadaan hujan. Maka hujan pun akan turun dari langit selama 40 hari. Sehinggakan air yang turun itu akan bertakung sedalam kira-kira 12 hasta.

Dan setelah itu Allah SWT akan mengarahkan setiap tulang sulbi tadi supaya tumbuh. Sepertimana tumbuhnya anak benih menjadi pokok-pokok. Lantas kesemua jasad makhluk akan kembali semula sepertimana keadaan asal mereka.

8. Tiupan Sangkakala Yang Ketiga (Nafkhatul Baa’its – Tiupan Kebangkitan) :

Dalam satu Hadith diriwayatkan bahawa jarak antara Nafkhatus Sha’iq (Tiupan Mematikan) dengan Nafkhatul Baa’its (Tiupan Kebangkitan) adalah dalam selang masa 40. Cuma Muhammad Rasulullah SAW tidak menyatakan apakah jarak masa 40 itu. Boleh jadi jaraknya 40 hari. Boleh jadi jaraknya 40 bulan. Boleh jadi jaraknya 40 tahun. Dan Baginda juga tidak menyatakan apakah perkiraan jarak masa 40 itu dihitung dengan jarak masa dunia atau jarak masa alam Akhirat.

Ini Peristiwa Yang Berlaku Menjelang Hari Kiamat.

Maka boleh jadi ia dihitung dengan jarak masa dunia. Dan boleh jadi ia dihitung dengan jarak masa alam Akhirat. Seandainya diukur dengan perkiraan dunia – maka jaraknya adalah seperti yang kita lalui. Seandainya diukur dengan perkiraan alam Akhirat – maka boleh jadi jarak masa itu adalah selama 40 ribu tahun dunia (sehari di Akhirat bersamaan seribu tahun perkiraan dunia). Boleh jadi jarak masa itu adalah selama 1.2 juta tahun dunia (40 bulan di Akhirat didarab dengan seribu tahun dunia). Dan boleh jadi jarak masa itu adalah selama 14.4 juta tahun dunia (40 tahun di Akhirat didarab dengan seribu tahun dunia).

Kepada Allah SWT sahajalah kita serahkan segala pengetahuan itu. Kerana sesungguhnya Allah SWT lebih mengetahui.

Berbalik semula kepada keadaan bumi yang telah diciptakan semula keadaannya kepada bentuk yang baharu. Dan setelah semua jasad makhluk (tumbuh) kembali seperti sediakala, maka Allah SWT akan berfirman : “Hiduplah Jibrail dan Mikail”. Maka kedua malaikat itu pun akan kembali hidup.

Kemudian Allah SWT akan mengarahkan supaya Jibrail a.s. dan Mikail a.s. menghimpun dan mengambil kesemua roh-roh makhluk. Maka roh-roh sekalian makhluk pun akan didatangkan. Roh-roh orang yang beriman akan kelihatan sangat berkilauan cahayanya. Sementara roh-roh orang kafir kelihatan hitam legam dan gelap.

Kesemua roh tadi akan digenggam oleh Allah SWT dan dilemparkan ke dalam sangkakala. Setelah itu Allah SWT akan menghidupkan Israfil a.s. Lantas Allah SWT akan mengarahkan Israfil a.s. meniupkan tiupan sangkakala ketiga – tiupan kebangkitan. Lantas Allah SWT berfirman : “Demi Kemuliaan-Ku dan Keagungan-Ku, kembalilah setiap roh ke dalam jasadnya masing-masing”.

Maka keluarlah roh-roh tadi dari hujung sangkakala bagaikan sekumpulan lebah. Roh-roh tadi akan memenuhi ruang antara langit dan bumi. Seterusnya kesemua roh itu akan masuk ke dalam tanah menuju kepada jasad masing-masing. Setiap roh akan masuk melalui rongga hidung dan akan meresap ke seluruh bahagian tubuh. Ibarat cairan racun yang meresap ke dalam tubuh orang yang disengat haiwan berbisa.

Ini Peristiwa Yang Berlaku Menjelang Hari Kiamat.

Setelah itu bumi pun merekah. Dan kesemua makhluk – sama ada dari kalangan manusia dan malaikat dan jin dan haiwan – kesemuanya akan bangun dan berdiri. Dan makhluk pertama yang akan dikeluarkan oleh Allah SWT dari dalam bumi adalah Baginda Muhammad Rasulullah SAW (sesungguhnya Allah SWT memuliakan Baginda).

Pada ketika dibangkitkan semula, orang-orang kafir akan berkata – “Aduhai celakanya! Siapakah yang membangkitkan kami dari tempat tidur kami?” Maka orang beriman yang berada di sebelah orang kafir tadi akan menjawab – “Inilah hari yang dijanjikan oleh Yang Maha Pemurah, dan benarlah Rasul-Rasul-Nya”. (dipetik dari ayat 52; Surah Yaasin).

Pada ketika kita dibangkitkan – kesemua manusia akan berada dalam keadaan telanjang bogel dan tidak berpakaian. Tidak berkhitan (bersunat dalam bahasa Melayu). Dan tidak beralas kaki (berkasut).

Kesemua makhluk akan terpinga-pinga. Ada yang kebingungan. Ada yang menangis. Ada yang berteriak. Manusia akan menangis sehingga kering air matanya. Kemudian mereka menangis lagi sehingga keluar darah dari kedua matanya. Sementara peluh-peluh manusia akan mengalir sehingga ke paras dagu atau mulut manusia. Kecuali orang-orang mu’min. Sesungguhnya mereka diselamatkan daripada azab sengsara tersebut.

Pada ketika itu kelihatan bumi sangat padat dengan manusia, jin dan haiwan. Sementara para malaikat akan berhimpun pada tingkatan-tingkatan langit. Pada ketika itu kita akan dapati ruang yang ada hanyalah tempat di mana kita berpijak sahaja. Tidak mampu untuk ke kanan atau ke kiri, ke depan atau ke belakang.

Seterusnya kesemua makhluk akan mula bergerak menuju ke tempat perhimpunan yang selalu kita sebut sebagai Padang Mahsyar.

M A K A saya hentikan dahulu penulisan saya sehingga di sini sahaja. Dan InSyaaAllah pada penulisan akan datang – saya akan tuliskan pula berkenaan dengan kengerian pada hari seluruh makhluk dihimpunkan di Padang Mahsyar – InSyaaAllah.

Sekian dahulu. Wallahua’lam.

Penulis: Malik Fareeq Ghazie al-Qudsi



Sumber : Ma-Zeer Blog